BGTN bantu penduduk Orang Asli etnik Bateq Kuala Tahan
BGTN bantu penduduk Orang Asli etnik Bateq Kuala Tahan
JERANTUT – Bencana ancaman pandemik Covid-19, melumpuhkan sektor ekopelancongan selama dua tahun menyebabkan ketiadaan pengunjung hadir ke perkampungan Orang Asli etnik Bateq untuk melihat demontrasi aktiviti ‘survival hutan’ dan kesenian selain mereka juga berdepan ketiadaan lagi kawasan ‘rayau’ untuk ‘surivival’ mereka mencari sumber makanan.
Penduduk Orang Asli etnik Bateq di beberapa buah penempatan pesisir Sungai Tembeling berdekatan Taman Negara Kuala Tahan daerah ini masih berdepan tekanan pendapatan akibat kesan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Penduduk suku kaum itu kerap mengalami keputusan bekalan barang keperluan dapur kerana kebanyakan golongan muda yang juga ketua keluarga di situ yang bekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara kehilangan punca pendapatan dalam tempoh berkenaan.
Tekanan pendapatan dan beban perbelanjaan juga dihadapi bersilih-ganti apabila musim tengkujuh melanda setiap kali penghujung dan awal tahun menyebabkan mereka terbantut untuk mencari rezeki.
Menyedari masalah kebajikan Orang Asli etnik Bateq di situ, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif, iaitu Birds Group Taman Negara (BGTN) dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) telah tampil menghulurkan sumbangan barang keperluan dapur kepada 30 buah keluarga penduduk tersebut di Kampung Dedari berdekatan Kuala Tahan di sini.
Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, sebelum pandemik Covid-19 dua tahun lalu dan musim tengkujuh hujung tahun bolehlah dikatakan saban hari pelancong Barat dan domestik hadir menyaksikan acara survival dan kesenian di Kampung Dedari terletak di pesisir Sungai Tembeling.
“Senario ini berubah selepas ancaman pandemik Covid-19 dan berturutan kerap berlaku musim tengkujuh menyebabkan segelintir sahaja pengunjung melawat kawasan penempatan Orang Asli di sini.
“Hal ini menyebabkan mereka kekurangan pendapatan serta berlaku keputusan bekalan keperluan dapur dan apabila mereka berdepan senario ini, kita (BGTN) turut bersimpati untuk membantu kaum minoriti merupakan penduduk asal di sini dengan memberikan bantuan barang keperluan dapur dan tembakau,” katanya di Kampung Dedari dekat sini hari ini.
Roslan telah mengetuai sukarelawan BGTN dan APAM menghantar bantuan barang keperluan dapur kepada 30 orang Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli etnik Bateq di Kampung Dedari berdekatan Kuala Tahan dekat sini.
Beliau berkata, BGTN dan APAM yang banyak menerima sumbangan kerajaan, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dari luar kerap membantu penduduk minorit di situ termasuk enam buah penempatan lagi terletak di pesisir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling.
“Kita bersimpati kerana penduduk Orang Asli etnik Bateq ini juga penyumbang serta pemain dalam sektor ekopelancongan Taman Negara seperti pemandu pelancong dan bot penambang, ‘porter’ di samping mempromosi cara survival hutan dan kesenian komuniti ini kepada pengunjung,” katanya.
Seorang penduduk Orang Asli Kampung Dedari, Kapak a/l Galong, 40, berkata, pendapatan mereka terjejas sejak ancaman pandemik Covid-19 dan setiap kali musim tengkujuh penghujung tahun.
“Sekiranya tidak ada pengunjung, kami tidak mempunai pendapatan untuk membeli barang keperluan dapur sehingga kami berharap bantuan BGTN dan NGO luar.
“Penduduk Orang Asli di sini amat berterima kasih kepada Abang Roslan dan rakan BGTN yang kerap datang membawa barang keperluan dapur apabila kami terputus bekalan,”katanya.-SAHIH.