Nur Azurin dipilih sebagai penjaga gol terbaik Liga Karnataka India
Penjaga gol, Nur Azurin dipilih sebagai penjaga terbaik Liga Karnataka India
Anak kelahiran Shah Alam yang menjadi penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nur Azurin Mazlan dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik di pertandingan Liga Wanita Karnataka (Karnataka Women’s League) baru-baru ini.
Karnataka Women’s League adalah divisyen utama liga bola sepak wanita di wilayah Kartanaka. Ia adalah saingan berasingan dan berada di bawah pertandingan elit bola sepak di India, iaitu India Womens’ League.
Bekas pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah, penjaga gol berusia 21 tahun itu telah terbang ke India pada 23 Disember lalu untuk meraih pengalaman baharu di dalam karier bola sepaknya apabila menerima tawaran sebuah kelab amatur, Misaka United.
Azurin adalah antara tonggak Malayan Tigress ketika menewaskan Palestin 2-0 dalam aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, September lalu.
Nurul Azurin tidak menunggu lama untuk membuat penampilan penuh apabila dia diberi kepercayaan penuh oleh jurulatih pasukannya untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Ia sekaligus menjadikan Azurin sebagai pemain import pertama yang beraksi di Karnataka Women’s League. Pada perlawanan pertamanya bersama Misaka United, Azurin berjaya membantu pasukan itu menewaskan Bengalaru Braves dengan jaringan 4-0, sekali gus merekodkan clean sheet.
Di perlawanan akhir pertama, Azurin sekali lagi beraksi cemerlang membantu Misaka United menewaskan Kickstart FC dengan jaringan 2-1. Nasib bagaimana pun tidak menyebelahi Azurin apabila Misaka tewas 3-1 dalam perlawanan timbal balik.
Walaupun kurang bernasib baik tewas di perlawanan akhir, aksi Azurin sepanjang pertandingan berjaya menjadikan beliau penjaga gol terbaik pertandingan tersebut.
Ia pasti menjadi pengalaman berharga buat Azurin. Syabas anak muda kerana berani menyahut cabaran.-SAHIH.