Agong mencemar duli lawat mangsa banjir di PPS Bukit Cermin
Agong mencemar duli lawat mangsa banjir di PPS Bukit Cermin
TEMERLOH – Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin dikunjungi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (SPBYDA), dekat sini, hari ini.
Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ShahAl-Musta’in Billah turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku MahkotaTengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
PPS itu menempatkan 388 mangsa daripada 142 keluarga yang datang dari Kampung Mambang Berulang, Kampung Sungai Dingin, Kg Chatin dan Kampung Serdang serta beberapa kampung sekitar kawasan kejadian banjir.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin serta pegawai kanan daerah.
Penduduk Kampung Chatin, Rohaiday Jamaludin,43 berkata, dia sudah sembilan hari berada di PPS dan hanya sempat menyelamatkan televisyen dan peti sejuk.“Kejadian pada malam itu (pada Sabtu lepas), paras air naik sangat cepat sehingga sampai paras bumbung rumah, kini sedang membersihkan rumah sebelum kembali ke rumah.
“Saya tak sangka air naik begitu cepat dan ini kali pertama saya mengalami banjir yang dianggap teruk, pada 2014 tidak berlaku, awal tahun 2021 pula kejadian banjir paras air naik tidak seteruk ini,” katanya ketika ditemui di PPS, hari ini.
Katanya, dia berterima kasih dan bersyukur dengan kunjungan Tuanku yang mencemar duli melawat mangsa di PPS ini.
Seorang lagi mangsa dari Kampung Sungai Dingin, Ruziah Mat Zain, 68 tahun tidak sangka air naik sehingga paras bumbung dengan cepat.
“Satu rumah tenggelam dan tiada apa yang boleh diselamatkan termasuk tanaman dan ternakan, saya tinggal bersama anak yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) tidak mampu menyelamatkn barangan.
“Terima kasih kepada Tuanku yang prihatin dengan masyarakat yang terkesan dengan banjir dan Tuanku menitahkan kepada saya untuk bertemu doktor kerana saya sakit kaki, terima kasih Tuanku,” katanya..
Seorang warga emas, Siti Aminah Ali, 75 berkata, mohon pihak kerajaan menempatkan kembali penempatan baharu kepada mangsa banjir di kawasan rendah terutama berdekatan dengan Sungai Semantan yang acap kali dilanda banjir.
“Setiap kali banjir, penduduk yang terkesan akan mengeluarkan belanja peralatan rumah yang baharu, oleh itu mohon pihak kerajaan menyediakan penempatan baharu buat penduduk yang kerap dilanda banjir,” katanya.
Katanya, dia yang tinggal di Kampung Mambang Berulang sejak kecil sudah mengalami musibah itu setiap kali dan tidak mampu mengeluarkan belanja setiap kali selepas banjir surut.-SAHIH