Polis Lipis bantu anggota dan orang awam yang terkesan banjir
Polis Lipis bantu anggota dan orang awam yang terkesan banjir
LIPIS – Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis membantu meringankan mangsa banjir di kalangan pegawai, anggota dan pegawai awam IPD itu yang mengalami musibah banjir yang melanda bandar itu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, pihak IPD menggerakkan pasukannya untuk membantu anggota yang terkesan dengan membersih kediaman mereka.
“Kami mengambil pendekatan membantu anggota dan pegawai yang terkesan dan selepas ini akan menghulurkan bantuan kepada orang awam yang turut mengalami musibah sama.
“Sebelum memulakan kerja amal itu, sesi taklimat telah disampaikan kepada anggota pasukan bantuan dari aspek keselamatan termasuk pendawaian elektrik, binatang berbisa atau kaca pecah semasa pembersihan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, hanya dua anggota dan keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan pembersihan dengan segera supaya anggota itu dapat menjalankan tugas dengan tenang.
“Ini adalah kekuatan siratulrahim antara anggota dan pegawai yang sering menjaga kebajikan sesama sendiri dan secara tidak langsung memberi motivasi dan semangat untuk bertugas dengan lebih baik.
“Bantuan dari IPD ini turut membantu membersih dan mengemas stesen minyak berdekatan bandar ini yang tenggelam supaya dapat beroperasi semula dengan segera untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.
Katanya, kepada mangsa banjir yang ingin kembali ke kediaman masing-masing agar lebih berhati-hati dengan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu struktur bangunan rumah dan periksa pendawaian elektrik.
“Selain itu, pastikan binatang atau serangga berbisa termasuk benda-benda tajam tiada, semua ketua polis balai telah diarahkan memberi nasihat dan peringatan kepada orang ramai,” katanya.-SAHIH.