PEJABAT PARLIMEN JERANTUT SUMBANG MAKANAN DAN ALATAN KESIHATAN
PEJABAT PARLIMEN JERANTUT SUMBANG MAKANAN DAN ALATAN KESIHATAN
JERANTUT: PEJABAT Parlimen Jerantut memberi sumbangan barang makanan, kerusi roda, tongkat dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada sukarelawan Skuad Cakna, Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) baru-baru ini.
Sumbangan tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris kepada Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah di hadapan masjid yang turut disaksikan oleh Pengerusi Skuad Cakna, Ikhtiman Ismail.
Katanya, barang makanan dan peralatan tersebut untuk disumbangkan kepada penduduk asnaf dan pesakit kronik di kawasan kariah MTMAJ menerusi Program Infak Skuad Cakna masjid itu.

Katanya, sumbangan berkenaan cukup bermakna bagi meringankan beban kesusahan yang ditanggung oleh penduduk asnaf dan mereka yang memerlukan lebih lagi dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sukarelawan Skuad Cakna MTMAJ akan berziarah penduduk berkenaan hasil maklumat diperoleh daripada pengerusi taman perumahan di sini termasuk ketua kampung pinggir bandar Jerantut.
“Saya dan ahli jawatankuasa MTMAJ bersyukur dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Jerantut dan semua penderma yang menginfakkan barang makanan, peralatan perlindungan diri, kerusi roda, tongkat dan sebagainya. Semoga Allah SWT melimpahkan ganjaran yang besar atas amal jariah ini,” katanya di Jerantut, Pahang baru-baru ini.-SAHIH.