132 SERBU PASAR RAYA UNTUK TERIMA VAKSIN DI JERANTUT
132 SERBU PASAR RAYA UNTUK TERIMA VAKSIN DI JERANTUT
JERANTUT: Seramai 132 orang terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara telah menyerbu Pusat Pemberian Vaksin Pasaraya (PPVP) yang diadakan di Pasaraya Econsave Jerantut awal pagi semalam.
Kesemua mereka hadir awal sebelum jam 9.00 pagi dan beratur menunggu giliran dan bersedia untuk menerima vaksin suntikan tunggal itu yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato’ Mohd Khairi berkata, sambutan amat menggalakkan di PPV yang diadakan di pasar raya kerana dipercayai memberi kemudahan kepada penerima vaksin khususnya buruh yang berkerja ladang yang kerap berpindah lokasi bekerja.
“Mereka dibawa oleh majikan masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin tunggal CanSino sebagai satu perlindungan kepada pekerja itu dan juga orang ramai daripada pandemik Covid-19 bagi mencapai hasrat imuniti kelompok pekerja ladang di daerah ini.
“Di daerah ini juga meletakkan sasaran sebanyak 80 peratus penerima vaksin menjelang Oktober nanti. PPVP ini adalah yang pertama diadakan di pasar raya di Malaysia,”katanya.
Seorang warga Bangladesh, Vijay Bahadur , (24) yang bekerja di ladang sawit di Felda Gelanggi Tiga, berkata, dia amat bertuah mendapat suntikan vaksin yang memang ditunggu-tunggu.
“Boss (majikan) saya mengarahkan saya dan beberapa kawan lain untuk mendapatkan suntikan bagi perlindungan untuk semua orang , ini adalah amat bagus.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberi suntikan vaksin secara walk-in dan percuma walaupun saya bukan warganegara ini,” katanya.
Seorang lagi penerima vaksin Nepal yang bekerja di Felda Sungai Tekam , Chhote Lan (40), berkata, dia mendapat tahu daripada majikan dan pada pagi semalam dan bersiap sedia di awal pagi untuk menerima suntikan.
“Saya sudah duduk di sini empat tahun, saya bekerja bukan satu tempat, kadang-kadang tukar ladang, jadi saya pun mahu menjaga kesihatan diri sendiri dan orang lain.
“Pemberian vaksin di pasar raya ini pun bagus kerana senang dan mudah untuk datang,” katanya.-SAHIH.