WARGA EMAS HASIL ‘GENDANG SILAT TIN BISKUT’
WARGA EMAS HASIL ‘GENDANG SILAT TIN BISKUT’
LIPIS – Seorang warga emas, Idris Bakar, 65, membuat inovasi ‘gendang silat daripada tin biskut’ dan dipadankan pula dengan tali tangsi untuk menghasilkan bunyi gendang ibu, gendang anak dan gong atau tetawak ketika ditemui di Kampung Gemunchor, dekat sini, baru-baru ini.
Selalunya permainan ensembel gendang silat dimainkan oleh tiga orang, setiap seorang memainkan gendang anak, gendang ibu dan gong, tetapi dengan inovasi yang dilakukan oleh Idris hanya seorang sahaja yang memainkan ketiga-tiga alat tersebut untuk menghasilkan irama bunyi gendang silat.

Katanya, permainan muzik tradisional ini lazimnya dimainkan semasa keramaian menyambut pembesar, mengiringi pesilat dan kenduri-kendara untuk meraikan pengantin.
“Sebenarnya inovasi ‘gendang silat tin biskut’ ini boleh menghasilkan muzik gendang anak, gendang ibu dan tetawak atau gong berdasarkan regangan tali tangsi dan besarnya lubang yang ditebuk pada tin tersebut.
“Sejak usia muda lagi, saya suka menonton dan mendengar irama gendang silat Pahang di majlis keramaian dan perkahwinan dengan pelbagai irama rentak tradisional sehingga timbul minat untuk mengubahsuai menggunakan bahan terbuang,” katanya.
Beliau, yang bekerja sendiri berkata, sudah beberapa kali hasil buatannya itu perlu diubahsuai dan melakukan pembetulan untuk mendapatkan bunyi gendang dan gong atau tetawak seperti bunyi yang betul-betul sama, seperti gabungan alat sebenar.
“Untuk memainkan alat ‘gendang silat tin biskut’ ini memerlukan kecekapan tangan dan jari yang memetik tali tangsi serta memahami struktur muzik gendang silat yang sebenarnya kerana cara ketukan tin akan menghasilkan bunga ‘dup’ dan ‘tak’ atau ‘dak’ yang bertingkah.

“Saya sedang mengumpul modal untuk mengubahsuai alat ini untuk memasang alat ‘pickup’ dan kabel ‘jack’ seperti ‘jack’ gitar dan disambung kepada amplifier bagi menghasilkan bunyi irama permainan alat muzik ‘gendang silat tin biskut’ yang berbunyi kuat,” katanya.
Katanya, sekiranya inovasinya itu sempurna boleh dimainkan tanpa memerlukan alatan muzik tradisional, tetapi beliau masih sayangkan ensembel gendang silat yang sebenar, kini seakan sudah pupus kerana generasi muda kurang meminatinya terutama di kawasan kampung, harap ada pihak menghidupkan kembali seni ini.-SAHIH.