DURIAN HULU CHEKA PUNYAI KEISTIMEWAAN TERSENDIRI
DURIAN HULU CHEKA PUNYAI KEISTIMEWAAN TERSENDIRI
JERANTUT : Sebut sahaja durian Hulu Cheka, seolah satu jenama baka durian terbaik dan popular di daerah ini yang kurang diwar-warkan, ketika ini populariti baka musang king sering menjadi dendangan penggemar durian jenis itu .
Sebenarnya durian dari Hulu Cheka mempunyai penggemar tersendiri dan penduduk di Jerantut sering menunggu buah keluaran tempat itu yang dianggap antara terbaik.
Ini kerana durian kampung itu yang sinonim dengan nama besar pendekar Melayu Pahang, Pawang Nong tetap mempunyai aroma dan kelazatan isinya yang sentiasa menambat hati pelanggan dan penggemar setiap musim raja buah itu, khususnya orang tempatan.
Oleh kerana durian kampung Pawang Nong menjadi tumpuan setiap musim, Kerajaan Pahang telah menjadikan Kampung Hulu Cheka, dekat sini sebagai hub atau lembah durian kampung melalui program Durio Tourism atau Pelancongan Durian sebagai lokasi baharu tarikan pelancong ke Pahang.
Peniaga durian kampung, Abd. Manan Yunus, 60, berkata, musim durian yang sungguh menjadi serta lebat buahnya menyaksikan durian kampung antara pilihan penggemar dan pelanggan luar walaupun berlaku sedikit lambakan baka lain, tetapi tidaklah seteruk seperti tempat lain.
“Sudah hampir tiga tan durian kampung sahaja saya jual di bandar Jerantut dan Bandar Pusat Jengka kerana ada penggemar durian kampung Pawang Nong setiap kali musim tiba.
“Harganya berpatutan, iaitu cuma antara RM5 hingga RM6 sekilogram dan pelanggan tetap memilih dan membeli durian ini untuk makan bersama keluarga atau boleh dibuat tempoyak,” katanya di Kampung Tanjung Puteri, Hulu Cheka dekat sini hari ini.
Penduduk Kampung Tanjung Puteri, Hulu Cheka, Md. Daud Ali, 54, juga mengakui durian kampung Pawang Nong yang mempunyai aroma serta isi yang lembut, warna kekelabuan, rasa manis bercampur masin antara tarikan penggemar setiap kali musim durian.
“Saya cuma menunggu pelanggan dan pemborong luar datang mengambil serta membeli buah durian kampung di sini pada sebelah pagi hingga tengah hari.
“Sehingga ini lebih empat tan buah ini sudah terjual untuk pasaran ke bandar Jerantut dan Bandar Pusat Jengka malahan permintaan masih ada sehingga ini walaupun buah di dusun saya sudah hampir peringkat penghujung,” katanya.
Sementara itu, pemilik pusat inap Lata Lang Hulu Cheka, Yusof Itam, 61, berkata walau bagaimanapun buah durian kampung menjadi tarikan cuma penggemar di sekitar daerah ini.
“Agak sukar juga peniaga durian kampung ini untuk memasarkan ke luar kerana sekatan rentas daerah termasuk penggemar durian dari tempat lain datang ke sini berikutan pematuhan penguatkuasaan PKP.
“Tekanan pasaran ini menyebabkan pekebun dan peniaga terpaksa menjual durian kampung dengan harga (di kebun) antara RM4 hingga RM5 sekilogram, D24 (antara RM10 hingga RM12) dan antara RM14 hingga RM16 jenis IOI,” katanya.-SAHIH.