648 PENEROKA FELDA JENGKA 24 TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
648 PENEROKA FELDA JENGKA 24 TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
JERANTUT: Seramai 648 warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) berpusat di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24, semalam.
Pembukaan PPV itu adalah hasil inisiatif pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka dan mendapat sokongan baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan daerah.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, program pemberian vaksin secara turun padang itu dapat membantu memudahkan proses imunisasi kepada warga peneroka dan penduduk kawasan luar bandar.
“Kejayaan program ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjayakan sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini.
“Selain bantuan dan sokongan padu daripada pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka dan GPW turut bekerja keras membantu di sepanjang program berjalan lancar turut terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, ahli jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran rancangan (JKKR) FELDA Jengka 24 dan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berkata, pembukaan PPV di kawasan FELDA juga dapat menjimatkan masa dan kos kepada warga peneroka serta penduduk sekitar kerana mereka tidak perlu ke PPV yang biasanya dibuka di kawasan pekan atau bandar
.
Katanya, langkah kerajaan melalui KKM ini diharap dapat diperluaskan di kawasan FELDA yang lain dan seterusnya memberikan galakan serta bantuan kepada orang ramai, terutamanya warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka dengan lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa.-SAHIH