IMAM GEMENTAR SEMBELIH DUA EKOR LEMBU KORBAN
IMAM GEMENTAR SEMBELIH DUA EKOR LEMBU KORBAN
LIPIS : Gementar dan kekok buat pertama kali diamanahkan untuk menyembelih lembu apabila diminta oleh ahli kariah menyembelih dua ekor lembu korban, hari ini.
Imam Masjid Ar-Rahman Kampung Kuala Telang, Ahmad Nazree Shahbudin, 38, berkata, tahun sebelum ini semua urusan penyembelihan ternakan untuk majlis korban dilakukan oleh seorang ahli jawatankuasa masjid itu, tetapi kebetulan hari ini berada di tempat lain, jadi dia terpaksa mengalas tugas itu.
“Walaupun saya tahu amalan syariat Islam serta teknik menyembelih, tetapi apabila pertama kali dipanggil untuk tugas menyembelih perasaan kekok dan gementar tiba-tiba muncul.
“Namun setelah mendengar ahli jawatankuasa masjid ini dan petugas bertakbir dan bertahmid, perasaan ini terus lenyap dan sembelihan dapat disempurnakan,” katanya di Kampung Kuala Telang dekat sini hari ini.
Menurut Ahmad Nazree, sembelihan dua ekor ternakan itu disempurnakan di kawasan yang mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan dipantau oleh pihak berkuasa beruniform.
“Petugas yang melapah dan mengagihkan daging termasuk jawatankuasa masjid ini telah menjalani ujian calitan sehari sebelum hari raya Aidiladha seperti mana yang dikuatkuasakan oleh JAIP dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah pematuhan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata, semua daging korban akan disumbangkan kepada golongan asnaf serta 50 buah keluarga yang terjejas pendapatan dalam tempoh penguatkuasaan PKP oleh ahli jawatankuasa masjid dan sukarelawan Pemuda UMNO Lipis.-SAHIH.