64 DITAHAN DALAM OPS SARANG KHAS DI MARAN
64 DITAHAN DALAM OPS SARANG KHAS DI MARAN
MARAN: Seramai 64 orang lelaki Melayu diserbu dan ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontigen Pahang dalam operasi ‘Ops Sarang Khas’, di sebuah lokasi ‘port’ penagihan dadah, hari ini.
Seramai 8 pegawai polis dan 41 anggota polis telah melaksanakan serbuan tersebut bermula 29 Jun 2021 dan berakhir tengah hari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, 64 orang yang ditahan dalam serbuan itu berusia antara 23 hingga 57 tahun, ketika itu sedang berada di sarang penagihan tersebut dan kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh ladang.
“Enam orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah merbahaya, lima kesalahan memiliki dadah dan 53 orang disiasat di bawah akta dadah merbahaya 1952.
“Tiga lagi diambil tindakan langkah-langkah pencegahan dan tindakan kompaun dikenakan kepada semua yang ditahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 17(1) No.3, 2021,” katanya.
Katanya, tujuan operasi itu dijalankan bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap ancaman dadah di kawasan Felda dalam daerah Maran.
“Ada antara yang ditahan mempunyai kesalahan lampau, mereka semua dibawa ke Balai Polis Maran untuk tindakan selanjutnya, “ katanya.-SAHIH.