LUPAKAN BIDANG KULINARI, CEBURI URUS JENTERA BAJAK SAWAH
LUPAKAN BIDANG KULINARI, CEBURI URUS JENTERA BAJAK SAWAH
JERANTUT: Anas Azizie Rosli, 25, yang memegang diploma Kulinari dari Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang mula berjinak dengan pengurusan sewaan jentera pembajak kepada pesawah Kampung Gintong, dekat sini.
Dia yang berasal dari Kampung Tokai, Kedah menyewakan jenteranya ketika musim mengerjakan sawah di Kampung Gintong dengan membawa jenteranya dari kampungnya.
“Saya sudah memiliki dua buah traktor dan dua buah Kubota yang bernilai hampir RM60,000 untuk disewakan kepada pesawah bagi membajak setiap kali awal musim.
“Pada masa yang sama, saya juga mengendalikan jentera Kubota untuk meratakan tanah
antara kerja awal sebelum benih padi ditabur,” katanya.
Anas Azizie anak ketiga daripada lima beradik berkata, buat masa ini dia komited dan amat seronok dengan pekerjaan sebagai pesawah moden berkemungkinan melupakan terus cita-citanya sebagai chef dan perniagaan makanan.
Katanya, sehingga ini dia menumpukan sepenuhnya pengurusan sewa jentera serta kerja membajak sawah di Kampung Gintong sebelum kembali ke Kampung Tokai, untuk memulakan musim persawahan di sana.
“Bapa saya, Rosli Saad sudah mengamanahkan kepada saya menguruskan jentera pembajak dan peluang ini saya sambut untuk membeli lebih banyak jentera pembajak memandangkan permintaan untuk sewaan dalam kalangan petani di Pahang dan Kedah semakin menggalakkan.
“Diharap semua graduan jangan terlalu memilih pekerjaan, agak sukar ketika ini, oleh itu rebut peluang apa yang ada termasuk pertanian,” katanya.
Katanya, kepada graduan, jangan malu untuk bermain dengan lumpur kerana zaman ini semua menggunakan teknologi dan jentera, malah pertanian akan terus hidup disebabkan hasil pertanian menjadi keperluan harian manusia.-SAHIH.