PEMANDU TRELER MAUT TERSEPIT DI KM44.2, LEBUHRAYA KUALA LUMPUR-KARAK
PEMANDU TRELER MAUT TERSEPIT DI KM44.2, LEBUHRAYA KUALA LUMPUR-KARAK
BENTONG: Pemandu sebuah treler berusia 53 tahun yang membawa kertas terpakai maut dalam kemalangan jalan raya di KM44.2, Lebuhraya Kuala Lumpur menghala ke Karak pada jam 3.40 petang, semalam.
Hasil siasatan, mendapati treler yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa, Gururaja A/L Krishnan Naidu yang memandu treler tersebut dari Pelabuhan Klang menuju ke Temerloh.
“Setiba di tempat kejadian , pemandu itu gagal mengawal kenderaan dan masuk ke dalam longkang, pemandu tersepit di bawah treler dan disahkan meninggal di tempat kejadian.
“Pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987,” katanya.
Zaiham menasihatkan orang ramai yang memandu dan menunggang kenderaan agar sentiasa berhati-hati serta patuhilah peraturan lalulintas dan pastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik, sekiranya penat berhenti dan rehat di lokasi yang disediakan.-SAHIH