MAUT TERTUSUK BESI TAJAM PADA LORI HANTU
MAUT TERTUSUK BESI TAJAM PADA LORI HANTU
GUA MUSANG – Seorang buruh warga Indonesia maut dalam keadaan mengerikan ketika dia sedang meninjau tayar lori hantu yang dipandunya tersekat dalam laluan berlumpur di sebuah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Dedi Sulisman, 26, maut apabila lehernya tercucuk besi tajam selepas sebuah lori hantu lain dipandu seorang lagi warga Indonesia merempuh bahagian belakang kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, sewaktu kejadian mangsa sedang memandu kenderaan berat itu ketika melakukan kerja-kerja pembinaan jalan kebun sayur.
Katanya, mangsa dipercayai telah memberhentikan kenderaannya di tengah laluan baharu yang dibina dalam kebun sayur dan turun untuk melihat keadaan lorinya yang tersekat dalam lumpur tanah, lapor KOSMO online
“Secara tiba-tiba, sebuah lori hantu lain yang dipandu seorang lelaki, Oza Desraldi, 20, di laluan sama telah merempuh bahagian belakang lorinya.
“Mangsa yang berada di hadapan lorinya tidak sempat menyelamatkan diri sehingga besi tajam yang berada pada lori itu mencucuk bahagian lehernya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Choon Foo berkata, insiden itu menyebabkan leher mangsa berlumuran darah sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.