2 WANITA DITAHAN PALSU DOKUMEN RENTAS NEGERI
2 WANITA DITAHAN PALSU DOKUMEN RENTAS NEGERI
BENTONG: Dua orang wanita berusia 22 tahun ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong selepas didapati memalsukan borang rentas negeri oleh anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong pada 6.45 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota yang bertugas di sekatan jalan raya itu menahan kenderaan dinaiki kedua wanita terbabit yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Setelah pemeriksaan dilakukan terhadap dokumen perjalanan rentas negeri mereka, didapati borang berkenaan agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh mereka.
“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik seorang daripada mereka mendapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati cop dan tandatangan ketua polis balai meluluskan permit terbabit dipercayai dibuat secara scan selain tulisan turut dipinda.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.
“Salah seorang suspek didapati positif dadah ganja selepas ujian saringan air kencing dibuat dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Zaiham.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu membuat perjalanan rentas negeri supaya tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang yang diubah suai dengan niat memalsukan dokumen berkenaan.