SALURAN NTV7 KINI DIKENALI SEBAGAI DIDIKTV KPM
SALURAN NTV7 KINI DIKENALI SEBAGAI DIDIKTV KPM
PETALING JAYA : Selepas 23 tahun menghiburkan penonton di kaca televisyen, Natseven TV atau lebih dikenali sebagai ntv7 akhirnya secara rasmi telah ditukar kepada saluran khusus TV Pendidikan dan Didik Hiburan yang dikenali sebagai DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) bermula hari ini.
DidikTV yang dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) pagi tadi akan menyiarkan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM di samping program-program berkaitan pendidikan termasuk kandungan didik hibur (edutainment).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, saluran DidikTV KPM akan bersiaran setiap hari.
Kandungan yang disiarkan juga telah diluluskan oleh KPM selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan.
“DidikTV akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.
“Perubahan kandungan saluran ntv7 merupakan satu sokongan drastik dalam membantu usaha KPM meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya menerbitkan kandungan berkualiti,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam usaha mengetengahkan ntv7 sebagai hab pendidikan Malaysia, Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah, lapor K! Online.
“Kami komited untuk menyajikan program-program yang bersasar kepada golongan muda supaya menjadi sumber inspirasi dan hab maklumat kepada generasi muda.
“Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari pukul 7.30 malam. Sementara siaran ulangan pada pukul 12.00 tengah hari keesokannya,” katanya.
DidikTV KPM akan bersiaran setiap hari dari pukul 7.00 pagi di ntv7, saluran 107 di MyTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di unifi tv, serta YouTube ntv7 Malaysia.
Terdahulu, ntv7 merupakan stesen televisyen terestrial nasional yang mula beroperasi pada 7 April 1998 sebelum dibeli oleh Media Prima pada 2005 dengan menggunakan slogan I feel Good atau Saluran Ceria Anda.
Antara rancangan menarik yang pernah disiarkan menerusi ntv7 ialah sitkom Spanar Jaya, Impian Illyana, Famili Ceria, Who Wants To Be A Millionaire dan telenovela, Maria Mercedes.