PEGAWAI DAN ANGGOTA PANGKAT RENDAH BERDEPAN TINDAKAN DISIPLIN
PEGAWAI DAN ANGGOTA POLIS PANGKAT RENDAH BERDEPAN TINDAKAN DISIPLIN KES ROGOL
KUALA LUMPUR: Seramai 11 pegawai kanan polis dan berpangkat rendah berdepan tindakan disiplin berhubung dengan kejadian rogol melibatkan seorang gadis berusia 16 tahun di lokap balai polis di Miri.
Malaysiakini melaporkan, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata, pegawai yang didapati cuai dalam menjalankan tugas mereka akan diturunkan pangkat atau dibuang kerja.
“JIPS menjalankan siasatan bagi menyiasat kecuaian dan salah laku dalam kejadian tersebut.
“Selain tindakan dari sudut jenayah ke atas kedua-dua anggota berkenaan, seramai 11 orang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis yang lain yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas turut akan diambil tindakan oleh jabatan (diturunkan pangkat atau dibuang kerja),” katanya.
Mangsa mendakwa, dalam laporan polisnya, bahawa sel lokap lelaki tidak dikunci.
Dia mendakwa tertuduh membuka pintu selnya pada awal pagi 9 Januari dan terus memperkosanya di tandas lokap.
Suspek berusia 19 tahun mengaku bersalah pada 12 Januari, sebelum menukar pengakuannya minggu lalu.
Pada 8 Februari, dua pegawai yang bertugas menjaga lokap, Brase Omang, 55, dan Edmund Jali, 44, didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Bahagian ini menetapkan adalah suatu kesalahan bagi mana-mana orang untuk membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdedah kepada penderaan.
Undang-undang memperuntukkan denda hingga RM50,000, penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya.
Mereka mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan masing-masing seorang penjamin tempatan.
Kedua-dua mereka juga menghadapi tuduhan lain di bawah Seksyen 166 Kanun Keseksaan, yang menyatakan bahawa penjawat awam yang disabitkan menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang kerana tidak mematuhi arahan undang-undang boleh dipenjara hingga satu tahun, denda atau kedua-duanya.