IMIGRESEN SERBU PUSAT KHIDMAT SEKS
IMIGRESEN SERBU PUSAT KHIDMAT SEKS
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu 2 buah pusat urut dan berjaya menahan seramai 15 orang yang terdiri daripada 11 wanita warga Vietnam, Bangladesh (3) dan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga salah satu premis tersebut.
Operasi dijalankan di dua buah premis 3 tingkat yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada sebarang papan tanda diletakkan di luar premis yang bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa di kawasan Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan iaitu RM180 hingga RM225 bagi satu pakej.
“Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat JIM telah menyerbu premis-premis itu secara serentak dengan kekuatan seramai 35 orang pegawai imigresen pada jam 4.30 petang kelmarin.
“Semasa serbuan, kedua-dua pintu premis terpaksa dipecahkan kerana tidak mendapat kerjasama dari penghuni premis itu untuk membuka pintu tersebut, namun dan cubaan penjaga premis untuk menghalang pegawai imigresen serta cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, modus operandi perkhidmatan ini adalah menggunakan aplikasi Telegram sebagai medium untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
“Turut dijumpai adalah sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk dihubungi oleh pelanggan-pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatan di premis tersebut yang disembunyikan di atas siling tandas.
“Pemeriksaan di premis mendapati di aras 2 telah dijadikan tempat menunggu pelanggan yang datang dan aras 2 juga dijadikan tempat tinggal wanita-wanita warga asing tersebut, manakala kegiatan-kegiatan urut dan pelacuran dijalankan di tingkat 3, “ katanya.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, “ katanya.
“Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM akan mengkaji kemudahan yang diberikan kepada warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sejak 1 Januari 2020 dan tidak keluar kerana terkandas akibat berkaitan Covid-19 untuk pulang tanpa pas khas melalui pintu-pintu masuk yang diwartakan,”katanya.
Katanya, JIM telah mengesan beberapa kes warga asing yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan tidak keluar terus pulang ke negara asal tetapi bekerja secara haram di negara ini, “ katanya.