PATUHI SOP PRN SABAH ESOK
Berita Nasional
PATUHI SOP PRN SABAH ESOK
KUALA LUMPUR: Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta rakyat lebih berwaspada dan meningkatkan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu terus melonjak.
Risiko penilaian penularan COVID-19 di Sabah turut dikesan berikutan empat daripada lima kawasan di Malaysia yang bertukar sebagai zon merah terletak di Sabah iaitu membabitkan Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan 97 kes positif COVID-19 di Sabah hari ini dan terdapat 10 kes dikesan dijangkiti selepas kembali dari negeri itu menandakan kesiapsagaan perlu dipertingkatkan secara berterusan.
“KKM akan terus meningkatkan kesiapsagaan di lapangan, klinik, makmal dan hospital untuk berusaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.
“Individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Bagi individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham turut berkata, KKM menggalakkan masyarakat di Sabah untuk keluar mengundi dengan memastikan langkah keselamatan bagi mencegah penularan COVID-19 dilaksanakan secara menyeluruh.
“KKM menggalakkan masyarakat keluar mengundi, namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan di pusat mengundi.
“Amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.
“Selain itu, dapatkan bantuan kesihatan sekiranya anda bergejala,” katanya.
Sumber : Berita Harian