IRAN UJI PELURU BERPANDU BALISTIK
IRAN UJI PELURU BERPANDU BALISTIK
TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran melaksanakan ujian peluru berpandu balistik terhadap beberapa sasaran di Lautan Hindi ketika mengakhiri sesi latihan selama dua hari, lapor laman sesawang rasminya hari ini.
Peluru berpandu pelbagai kelas itu menyasarkan kapal perang musuh dan memusnahkan mereka dari jarak 1,800 kilometer, menurut laman sesawang Sepahnews.
Peluru berpandu itu dilancarkan dari Iran ke arah sasaran yang terletak di utara Lautan Hindi, kata Pengawal Revolusi Iran.
Satu video yang disiarkan media negara itu menunjukkan dua peluru berpandu dilancarkan dan tepat kena pada sasaran di laut.
Ketua Staf Pasukan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, hadir pada hari kedua latihan itu bersama Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami dan Komander Aeroangkasa Iran, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
“Satu daripada dasar pertahanan dan strategi utama kami adalah untuk mampu menyasarkan kapal musuh, termasuk kapal perang dan kapal pengangkut pesawat, menggunakan peluru berpandu balistik,” kata Hossein.
Mohammad berkata, pelancaran itu menunjukkan Iran bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang musuh berniat jahat dan memberi amaran jika perlu, musuh akan dimusnahkan dengan peluru berpandu.
“Kami tidak berhasrat memulakan sebarang serangan,” katanya sambil menambah latihan itu menunjukkan kesiapsiagaan Iran untuk mempertahankan diri dengan seluruh kekuatan bagi menangani sebarang ancaman.
Latihan yang dinamakan Great Prophet 15 itu turut mempamerkan serangan dron terhadap sistem pertahanan peluru berpandu, disusuli pelancaran sekumpulan peluru berpandu balistik darat ke darat generasi baharu.
Perang saraf itu diadakan ketika ketegangan memuncak menjelang hari-hari terakhir pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia juga adalah latihan ketenteraan Iran yang ketiga dalam tempoh kurang dua minggu selepas latihan tentera laut di Teluk Oman pada Rabu dan Khamis lalu serta latihan dron tentera pada 5 dan 6 Januari lalu.