PENIAGA SEDIA DEMO DEPAN PEJABAT PM
PENIAGA SEDIA DEMO DEPAN PEJABAT PM
SEMENYIH: Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah menggesa kerajaan membenarkan golongan peniaga pasar malam meneruskan operasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, dia menjangkakan PKP akan berlanjutan lebih lama daripada tempoh dua minggu, sedangkan peniaga pasar malam yang tidak memperoleh pendapatan tinggi pasti terkesan jika terus tidak dibenarkan berniaga.
Malaysiakini melaporkan, katanya, sekiranya peniaga masih tak dibenarkan berniaga dalam tempoh tiga bulan dari sekarang, dia dan peniaga-peniaga pasar malam akan berkumpul di hadapan pejabat perdana menteri bagi menyuarakan tuntutan mereka.
“Kita akan tunggu keputusan kerajaan pusat macam mana, sama ada peniaga pasar malam boleh meniaga atau pun tidak dibenarkan sekiranya PKP dilanjutkan sehingga bulan Mac, kita akan ramai-ramai tunggu depan pejabat perdana menteri.
“Sekiranya peniaga pasar malam termasuk bazar malam tidak dibenarkan untuk berniaga sepanjang PKP, dicadangkan kerajaan memberikan pampasan kerana kehilangan punca pendapatan,” katanya dalam sidang media di sini.
GAMBAR HIASAN
Sidang media itu turut disertai pengerusi persatuan peniaga-peniaga kecil Selangor, Nozhar Che Nor yang mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dahulu diguna pakai kali ini.
Katanya, penyelaras dan peniaga pasar malam berjaya mematuhi SOP seperti mengasingkan jalan keluar dan masuk, memeriksa suhu, memastikan pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan sehingga tidak ada kluster pasar malam tercetus dalam jangkitan Covid-19.
Sebelum itu, kerajaan telah mengumumkan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari.
Manakala. negeri-negeri lain pula terlibat dalam PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP), berdasarkan kadar jangkitan negeri masing-masing.