3 HARI DIBIARKAN TANPA BANTUAN
JURURAWAT AKUI BERBOHONG
LONDON: Diego Maradona terjatuh dan kepala terhantuk seminggu sebelum kematiannya dan dibiarkan tanpa bantuan selama tiga hari, dakwa jururawat legenda bola sepak Argentina itu.
Maradona yang berusia 60 tahun meninggal dunia akibat kegagalan jantung yang serius di rumahnya di Buenos Aires minggu lalu.
Susulan penyiasatan polis selepas terdapat dakwaan berlaku kecuaian perubatan, peguam kepada jururawatnya melaporkan kepala Maradona terhantuk selepas terjatuh di rumahnya.
Menurut media tempatan, pemenang Piala Dunia itu tidak dibawa ke hospital untuk diperiksa bahagian kanan kepalanya.
Pada ketika itu, dia dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di sebelah kiri kepala dan dipantau sepanjang masa.
Peguam kepada jururawat Gisela Madrid, berkata, Maradona terjatuh pada Rabu seminggu sebelum kematiannya.
“Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk tetapi mereka tidak membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Agensi seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Peguam Rodolfo Baquè turut mendakwa bekas bintang Barcelona dan Napoli itu dibiarkan sendirian selama tiga hari selepas insiden itu.
Katanya, Maradona tidak mampu membuat keputusan – selepas terjatuh dia dibiarkan selama tiga hari dibiliknya tanpa dilihat sesiapa dan tanpa sebarang bantuan.
Laporan awal bedah siasat melaporkan Maradona mengalami pembengkakan paru-paru yang serius dan kegagalan jantung kronik yang membawa kepada kematiannya ketika tidur.
Pada Sabtu lalu, jururawat Maradona mengakui dia berbohong mengenai pemeriksaan rutin awal pagi dan pengakuan itu menambahkan lagi misteri di sebalik kematian legenda bola sepak dunia itu.