PEMBANGKANG PERAK DAPAT PERUNTUKAN RM50,000
IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada setiap pejabat pusat khidmat DUN seluruh Perak bagi membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
MENTERI BESAR PERAK, AHMAD FAIZAL AZUMU
“Kerajaan Perak amat mengambil berat akan kesulitan sedang dilalui oleh rakyat yang terjejas akibat bencana banjir serta pelaksanaan PKPB di seluruh negeri dan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) di kawasan-kawasan tertentu.
“Prihatin dengan keadaan ini, kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan tunai RM50,000 kepada setiap pejabat pusat khidmat DUN di seluruh negeri Perak untuk diagihkan secara terus kepada golongan sasar di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Malaysiakini.
Dana sebanyak RM2.95 juta tersebut diperuntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Fasa keempat melalui kesemua 59 pusat khidmat DUN.
Termasuk menerima bantuan itu ialah 24 ADUN pembangkang.
Katanya, sumbangan itu akan sampai kepada semua golongan sasar yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bagi meringankan beban mereka.