BERSATU MANSUH JAWATAN PENGERUSI
KUALA LUMPUR: Jawatan pengerusi BERSATU, kedudukan yang paling berkuasa di dalam parti telah dimansuhkan.
Ketua Penerangan Parti, Wan Saiful Wan Jan berkata perkara itu salah satu daripada beberapa pindaan terhadap perlembagaan BERSATU yang mendapat sokongan sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan parti hari ini.
Dengan pemansuhan jawatan pengerusi parti, Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin kini secara rasmi menguasai parti itu sepenuhnya.
GAMBAR HIASAN
Jawatan pengerusi BERSATU dibentuk ketika parti itu ditubuhkan, untuk membolehkan Dr Mahathir Mohamad berkuasa, dalam masa yang sama turut menampung Muhyiddin sebagai pemimpin tertinggi melalui jawatan presiden parti.
Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi parti pada Februari lalu setelah Muhyiddin membawa BERSATU keluar dari Pakatan Harapan.
Wan Saiful memberitahu Malaysiakini, BERSATU juga memansuhkan majlis presidennya, dan membentuk Sayap Bersekutu baru untuk anggota bukan Bumiputera.
Parti ini juga telah mempermudah pendaftaran dan pembaharuan keanggotaan – dengan menghapuskan keahlian tahunan. Semua ahli BERSATU kini akan menjadi ahli seumur hidup, dengan hanya sekali pembayaran.