USAHA KESAN MANGSA TERJATUH KE SUNGAI PAHANG DITERUSKAN
USAHA KESAN MANGSA TERJATUH KE SUNGAI PAHANG DITERUSKAN
TEMERLOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemuda yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di Temerloh, pagi semalam, diteruskan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasnuddin Hussin berkata, pencarian mangsa yang dikhuatiri terjatuh ketika melihat rawai ikan di sangkar ikan patin keluarganya bermula jam 8 pagi dan Loqman Hamka, 20 tahun, belum ditemui.
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin
“Kita menyambung semula SAR kira-kira jam 8 pagi dengan jarak pencarian sekitar enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh sehingga ke kawasan Bera Waterfront.
“Untuk operasi hari ini, kita mendapat kerjasama daripada semua agensi membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia APM dan penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Hamka Abu Bakar, 61 tahun berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu dari empat adik-beradik itu, telah memaklumkan kepadanya untuk keluar rumah pada jam 9.30 pagi semalam bagi melihat rawai ikan di sangkar.
BAPA mangsa, Hamka Abu Bakar
Namun, tidak lama kemudian, rakan mangsa memaklumkan kepada Hamka, bot milik mangsa telah hanyut tetapi mangsa tiada di dalam bot berkenaan.
“Saya bekas anggota polis, jadi biasanya saya yang cari mayat mangsa lemas.. macam kejadian ini, satu ujian untuk saya.. biasanya dulu, dua atau tiga mayat mangsa lemas, saya yang ambil (jumpa).
USAHA mengesan mangsa dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi
“Apa pun saya redha dengan kejadian ini… saya anggap ia satu ujian,” katanya.
Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.