800 ribu dapat manfaat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia PEDi
800 ribu dapat manfaat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia PEDi
BERA – Seramai 800 ribu usahawan kecil disasar menerima manfaat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia PEDi menjelang tahun 2025 melalui program itu yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama agensi dan pemain industri.
Bagi tujuan itu, sebanyak 1 ribu 83 PEDi diseluruh negara akan dipertingkat dan dipergiatkan untuk melahirkan serta memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa berkata, dalam usaha memperkasakan usahawan luar bandar PEDi akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil, yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta.
Bagi memastikan PEDi menawarkan program bersesuaian mengikut tuntutan semasa, setiap PEDi akan mempunyai panel penasihat tersendiri yang dianggotai wakil komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan serta persatuan peniaga.
Selain itu, seramai 600 Rakan Digital PEDi akan dilantik untuk menjalankan program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta yang turut disokong Ikon Usahawan PEDi bagi memberi motivasi serta semangat kepada mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian PEDi di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, Bera yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu katanya, kementerian akan menyalurkan peruntukkan khusus hingga 50 ribu ringgit setahun akan diberikan kepada PEDi melalui SKMM bagi penganjuran program yang diperlukan.
Malah, penubuhan pusat seumpama itu turut dicadangkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. – SAHIH