496 saman dikeluarkan kepada pengguna laluan CSR dalam tempoh dua hari
496 saman dikeluarkan kepada pengguna laluan CSR di Lipis dalam tempoh dua hari
LIPIS – Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lipis (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah mengeluarkan sebanyak 496 saman atas pelbagai jenis kesalahan jalan raya sempena Operasi Enam Kesalahan Utama dan Motosikal di daerah ini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, operasi pemantauan dan sekatan jalan raya di daerah ini di bawah Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ untuk memastikan pengguna mematuhi undang-undang jalan raya di samping jaminan kelancaran pergerakan kenderaan di daerah ini ketika musim perayaan.
“Operasi telah dilaksanakan di sepanjang Jalan Benta – Lipis dan laluan Central Spine Road (CSR) Lipis – Merapoh yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Lipis, Inspektor Mohd Nafis Nazaruddin bersama dengan enam orang anggota polis trafik di sini.
“Sebanyak 496 saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan seperti memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju dan juga melibatkan penunggang motosikal mulai semalam dan hari ini,” katanya di IPD Lipis di sini hari ini.
Menurut Azli, polis akan terus mengetatkan penguatkuasaan Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri ini bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan di jalan raya terutamanya ketika dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing.
Katanya, polis juga menumpukan pemantauan lokasi berbahaya yang kerap berlaku kemalangan maut di persimpangan Kampung Berchang,Padang Tengku dan laluan CSR berdekatan Chegar Perah dekat sini.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan bersabar dalam mengharungi kesesakan lalu lintas untuk mengelakkan berlakunya kemalangan terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.-SAHIH.