4,000 PENDUDUK 14 KAMPUNG DAPAT JALAN BERNILAI RM11.67 JUTA
4,000 PENDUDUK 14 KAMPUNG DAPAT JALAN BERNILAI RM11.67 JUTA
CAMERON HIGHLANDS: Penantian seramai empat ribu penduduk di 14 buah kampong di Pos Betau, Kampung Semoi Lama hingga ke Pos Lenjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai bakal menikmati kemudahan jalan raya berturap yang dijangka siap pada 2022.
Jalan sepanjang 15.4 kilometer bernilai RM11.67 juta itu dijangka siap pada April 2022 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi ‘Projek Membina Jalan Kampung Orang Asli’ dari Pos Betau ke Pos Lenjang yang melibatkan pembinaan 3 buah jambatan, sebuah jambatan diganti baharu dan dua buah lagi diperbaiki.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan jalan itu bakal memberi banyak kemudahan kepada semua pihak khususnya guru dan petugas kesihatan yang tidak dapat keluar atau masuk ke kampung-kampung di situ terutamanya sewaktu musim tengkujuh.

“Selama ini mereka menggunakan jalan balak dan tiada jalan perhubungan yang baik untuk menghubungkan kampung-kampung Orang Asli di Pos Lenjang dengan jalan utama serta menyukarkan penduduk untuk mendapatkan kemudahan kesihatan di klinik kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Pos Betau.
“Selain itu murid sekolah turut sukar berulang alik ke sekolah setiap hari kecuali yang tinggal di asrama,” beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pelaksanaan Projek JKR Jalan Pos Betau ke Pos Lenjang di Perkarangan Surau Pos Betau, pagi ini.
Katanya, projek pembinaan jalan ini telah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 29 Ogos 2016, tetapi tidak dapat dilaksanakan dengan segera kerana peruntukan yang diluluskan tidak mencukupi dan memerlukan perubahan kepada perlaksanaan projek tersebut.

“Selain itu, projek ini ditangguhkan berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14 dan pada 22 Januari 2019, Kementerian Kewangan telah bersetuju supaya projek ini diteruskan dengan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan sebelum ini.

“Saya berharap dengan adanya kemudahan jalan ini, pelbagai pembangunan dan kemudahan boleh dibawa kepada masyarakat di sini dan turut mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli serta dapat menjana pendapatan daripada hasil pertanian yang mudah dipasarkan,”katanya.
Katanya, kontraktor telah dilantik, tarikh milik tapak telah diperolehi pada 16 Oktober 2020, seterusnya kerja-kerja dimulakan dan menjadikan jalan kampong di Pahang berjumlah keseluruhan sepanjang 8,693.999 km.
Sehingga setakat 21 Oktober 2020, jumlah keseluruhan jalan di Pahang di bawah seliaan JKR sepanjang 15,099.524 km yang terdiri Jalan Persekutuan, sepanjang 3,693.58 km dan Jalan Negeri, sepanjang 2,711.945 km dan tidak termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) yang di bawah senggaraan Anih Bhd, sepanjang 174 km.