3 lelaki tempatan dalang kegiatan pemerdagangan manusia
3 lelaki tempatan dalang kegiatan pemerdagangan manusia
BENTONG – Polis berjaya membuat tangkapan seramai tiga orang warganegara tempatan yang berusia 30 tahun hingga 52 tahun dalam satu serbuan di sebuah apartment di Genting Highlands, Bentong, kira-kira jam 8.00 malam, pada 14 Januari 2022.
Kejayaan tangkapan dan rampasan tiga orang warganegara tempatan itu di bawah Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat serbuan ke apartment tersebut.
“Serbuan itu turut berjaya menyelamatkan seramai empat orang wanita warganegara asing yang berusia di antara 26 hingga 41 tahun yang dipercayai mengeksploitasi wanita.
“Salah seorang daripada lelaki warganegara tempatan yang ditahan berusia 52 tahun dipercayai menjadi dalang utama dalam kegiatan maksiat ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pihak polis turut merampas sepuluh buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah kereta jenis Nissan Almeera dan Toyota Vios, wang tunai berjumlah RM 2156, enam kondom pelbagai jenis, enam kad sim telefon dan tiga buah beg pelbagai jenama.
“Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 12, ATIPSOM dan telah ditahan reman sehingga 21 januari 2022.
“Hasil semakan rekod jenayah mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah manakala keempat-empat wanita warganegara asing tersebut telah dihantar ke rumah perlindungan yang terletak di Kuala Lumpur,” katanya.
Zaiham merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai kerana telah membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan terus komited dalam membanteras jenayah, maksiat, perjudian dan dadah di bawah pentadbiran IPD Bentong.-SAHIH.