1,714 pemandu pelancong sudah terima bantuan kerajaan Pahang
1,714 pemandu pelancong sudah terima bantuan kerajaan Pahang
KUANTAN: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Tourism Malaysia Pahang sudah mengagihkan bantuan pandemik COVID-19 kepada 1,714 pemandu pelancong di negeri ini sejak tahun lalu.
Bantuan itu membabitkan peruntukan RM422,500 dan penerimanya adalah pemandu pelancong biasa,pemandu pelancong alam semula jadi, pemandu bot pelancong Taman Negara dan Pulau Tioman.
Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, selain bantuan kewangan untuk pemandu pelancong, kerajaan turut memberikan bantuan kepada empat persatuan yang terbabit secara langsung dengan sektor pelancongan di negeri ini.
“Sepanjang tahun lalu, kita sudah mengagihkan bantuan wang tunai berjumlah RM348,300 kepada 972 pemandu pelancong yang aktif di seluruh Pahang.
“Untuk tahun ini, Kerajaan negeri melalui Tourism Malaysia Pahang memberikan sumbangan kepada Persatuan Hotel Malaysia Negeri Pahang, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Pahang dan Persatuan Homestay Negeri Pahang, setiap persatuan menerima RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Kamaruddin berkata, Tourism Malaysia Pahang juga mengagihkan baucar pelancongan kepada orang ramai yang menggunakan aplikasi Pahang Go sebagai antara inisiatif untuk menghidupkan semula sektor pelancongan domestik di negeri ini.
Katanya, peruntukan berjumlah RM75,000 disediakan bagi tujuan itu dan diharapkan dapat membantu menyokong semula pemain industri pelancongan yang terkesan sejak tahun lalu.
“Secara keseluruhannya, kerajaan Pahang dan Tourism Malaysia Pahang membelanjakan RM577,500 sejak tahun lalu untuk membantu semua pihak yang terbabit dengan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya yang turut berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan kebenaran segera kepada aktiviti rentas negeri bagi tujuan pelancongan untuk membantu sektor pelancongan di Pahang.- SAHIH