127 maut rusuhan lepas perlawanan bola sepak
127 maut rusuhan lepas perlawanan bola sepak
SERAMAI 127 penyokong pasukan bola sepak maut selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam tadi.
Turut terkorban dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri), kata Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia Daerah (Kapolda) Jawa Timur, Irjen Pol Nico Afinta dipetik dari Kompas.com.
“Ada 34 maut di stadium manakala yang lainnya meninggal dunia di rumah sakit.
“Sekitar 180 lagi penonton dan penyokong sedang dirawat di beberapa rumah sakit sekitar Jawa Timur,” katanya.
Difahamkan, rusuhan itu membabitkan penyokong kedua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Punca kecederaan dikatakan akibat tindakan Polri melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan itu.
Kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas dan dipijak oleh perusuh ketika pihak Polri cuba mengawal keadaan kecoh di dalam stadium terbabit.
Berdasarkan laporan kronologi kejadian, sebahagian besar penyokong mula menceroboh padang selepas pasukan Arema tewas 2-3 ditangan musuh tradisi mereka, Persebaya dalam perlawanan itu.-SAHIH