Zulaikha santuni warga emas di Semenyih
Foto atas : Wan Zulaika Anua menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Insan di Semenyih .
Zulaikha santuni warga emas di Semenyih
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor, Wan Zulaika Anua tetap tidak lupa untuk menyantuni warga emas tersisih dan tanpa waris di tiga pusat jagaan, pada 10 Ogos 2023.
Meluangkan masa lebih dua jam di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Insan di Semenyih dan berakhir di Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor beliau tidak dapat menahan sebak apabila warga emas yang disantuni menitipkan doa untuk kemenangannya.
Wan Zulaika berkata, selepas terpilih sebagai Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Langat lebih lima bulan lalu dia terus aktif menyantuni rumah kebajikan atau pusat jagaan warga emas, rumah anak yatim, keluarga miskin dan asnaf yang memerlukan pembelaan.
Menurut Wan Zulaika, dia memang mempunyai jiwa yang sensitif malah mudah tersentuh apabila mengetahui ada penduduk yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan atau sumbangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya, kerana itu melakukan kerja amal kebajikan memang sudah sebati dalam hidupnya sekian lama dan tidak berasa kekok untuk mendampingi penduduk walaupun kali pertama bertemu dengan mereka ketika melaksanakan tugas sukarelawan dan sebagainya.
“Saya tidak dapat menahan sebak dan berasa terharu apabila warga emas yang saya santuni dalam kunjungan ini menitipkan doa untuk kejayaan saya dan mereka saya ibarat sebagai bapa atau ibu yang mendoakan untuk seorang anak.
“Amat terharu ada antara warga emas di tiga pusat jagaan ini mengingati wajah saya kerana sering datang menyantuni mereka dengan menghulurkan sumbangan disamping memberi nasihat dan kata-kata semangat,” ujarnya ketika di temui di PJMM.
Turut hadir mengiringi beliau Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha dan Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Muhiadin serta Sazali Mohiden.
Jelasnya, jika tiada rumah kebajikan atau pusat jagaan itu sudah pasti sukar untuk menjaga atau mengurus warga emas yang disisih keluarga atau hidup sebatang kara termasuk anak yatim dan amat mengagumkan mereka beroperasi secara sukarela tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Sesiapa sahaja boleh datang membantu atau menyantuni mereka ini di samping menghulurkan sumbangan sebagai aktiviti amal kebajikan atau sosial korporat dalam meringkan bebanan pengurusan rumah kebajikan dan pusat jagaan terbabit,” ujarnya.
“Insya-Allah saya akan sentiasa bersama mereka dan menyelesaikan sesuatu masalah itu sebaik mungkin dengan semangat menang-menang tanpa mengabaikan mana-mana pihak,” katanya.-SAHIH.