ZII JIA JUARA ALL ENGLAND
ZII JIA JUARA ALL ENGLAND
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta sensasi apabila merangkul gelaran Seluruh England buat kali pertama selepas menundukkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen pada aksi final sebentar tadi.
Aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu menyaksikan pertarungan dramatik antara kedua-dua pemain berkenaan apabila permainan berlanjutan ke set penentuan.
Walaupun turun dengan rekod kekalahan sebanyak tiga kali ke atas Axelsen, namun Zii Jia langsung tidak goyang apabila dia mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya merakam kemenangan 30-29 di set pertama ke atas lawan dari Denmark itu.
Set kedua menyaksikan kedua-dua pemain saling mengejar mata namun Axelsen lebih bernasib baik apabila menang 22-20 di set kedua.
Set ketiga Zii Jia tampil lebih garang dengan keinginannya untuk muncul juara dilihat sangat tinggi apabila tidak memberi ruang buat Axelsen sekali gus merekodkan kemenangan 21-9 sekali gus dinobatkan sebagai juara.
Kemenangan itu melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir edisi tahun lalu, lapor BH Online.
Kejayaan Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.
Selaku juara Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM 244,344).