ZIARAH KASIH TANDA INGATAN
KUANTAN: Program turun padang sudah menjadi aturcara wajib pemimpin setempat, tanpa mengira musim pilihanraya atau bukan musim pilihanraya.
Sebagai contoh, program Ziarah Kasih terus menjadi platform paling berkesan dalam mendengar masalah dihadapi penduduk setempat dengan lebih jelas dan bersama mencari jalan penyelesaian segera.
NARA NIKMAN (2 DARI KIRI) BERSAMA DATUK SERI SHAFIK FAUZAN (PALING KANAN) KETIKA PROGRAM ZIARAH KASIH DI KEDIAMAN PENDUDUK DI KAMPUNG BELUKAR, KUANTAN/FACEBOOK
Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin bersama ahli dewan undangan negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif menyertai program Ziarah Kasih di Kampung Belukar, dekat sini, awal minggu ini.
Program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Belukar dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) daerah Kuantan, mengunjungi 10 rumah penduduk yang mengalami masalah kesihatan dan dikategorikan dalam kumpulan B40.
Selain bertanya khabar dan menghulurkan bantuan serta sumbangan, kunjungan itu juga bertujuan merapatkan lagi hubungan antara penduduk dan pemimpin.