Zamila tebal muka untuk kutip barang lama di tempat sampah
Foto atas : Zamila menunjukkan barangan antik koleksi beliau di rumahnya.
Zamila tebal muka untuk kutip barang lama di tempat sampah
AMPANG – Zamila Majlis menebalkan muka bertanya serta meminta izin dengan sesiapa sahaja apabila mengetahui ada timbunan sampah dibuang di depan rumah orang untuk diselongkar bagi mencari barangan lama yang boleh dijadikan koleksi antik.
Beliau yang lebih senang dipanggil Mama Mila berkata, di usia warga emas ini, dia berasa tenang apabila berada di rumah dengan dikelilingi pelbagai barangan antik yang dikumpulnya sejak 38 tahun lalu.
“Saya tidak pernah bekerja tetap, saya lebih tumpukan kepada menjadi seorang sukarelawan dengan membantu banyak pihak di hospital sekitar Lembah Kelang, saya suka membantu orang dan setiap kerja dilakukan dengan ikhlas.
“Hobi mengumpulkan barangan lama atau antik bermula sejil dan semakin berputik tanpa didorong oleh sesiapa pun dan tidak berasa malu untuk menyelongkar tempat pembuangan sampah apabila ternampak barangan lama dibuang,” katanya.
Katanya, kebiasaannya nasib menyebelahi dia apabila terjumpa barangan lama yang dibuang oleh pemiliknya dengan alasan tidak dapat digunakan lagi atau rosak tetapi mempunyai nilai kerana barangan itu sukar untuk dijumpai sekarang ini.
“Saya tidak pernah membeli barangan lama yang dikumpul ini, semua saya cari sendiri atau disumbangkan oleh kenalan apabila mereka mengetahui saya menjadi pengumpul barangan lama sebagai koleksi.
“Secara tidak langsung juga sebagai sukarelawan saya mengenali ramai orang dan sesetengah mereka pula menjadi pemberi maklumat di mana boleh saya dapatkan barangan lama yang dibuang dan sebagainya,” kata Mama Mila yang ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor.
Beliau yang kini berganjak usia 63 tahun berkata , selepas memiliki rumah sendiri kediamannya itu tidak ubah seperti mini muzium yang tersimpan lebih 500 koleksi pelbagai barangan antic.
“Antara brang antik yang saya simpan seperti seperti dacing, seterika besi dan tembaga berkepala ayam, radio, telefon, peralatan muzik seperti gitar, biola, trumpet, pinggang mangkuk tembikar, wang, pakaian lama, beg berbentuk kotak seakan besi yang disebut beg KTM Malaya dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, ramai yang berkunjung ke rumah dia atau menghubungi menerusi telefon apabila mengetahui beliau ada menyimpang barangan lama dan mereka itu berminat untuk membeli dengan menawarkan harga tinggi bagi satu-satu barang berkenaan.
Jelasnya, yang datang ke rumah beliau, dia izinkan mereka untuk melihat secara dekat barangan yang menarik minati untuk dimilik di samping bertanya pelbagai soalan khusus bagaimana boleh menemui barangan itu kerana mempunyai nilai antik yang mahal.
“Mereka juga agak terkejut apabila mengetahui barangan itu dicari sendiri dengan menyelongkar tempat pembuangan sampah termasuk tong sampah depan rumah orang apabila ternampak barangan lama ada dibuang.
“Perasaan malu memang ada, malah ada yang salah anggap sesetengah orang adalah perkara biasa ketika itu asalkan hati saya berasa puas apabila terjumpa barangan lama yang mempunyai nilai antik jika disimpan dan dijaga dengan sempurna,’ katanya.
Katanya, ada yang melucukan ada kaki judi nombor ekor datang ke rumahnya untuk membeli seterika berkepala ayam ini untuk tujuan pemujaan dan mereka hampa apabila dia bertegas tidak menjualnya apatah lagi bagi tujuan tidak baik.
Mama Mila berkata, semakin lama barangan itu disimpan terasa nilai sentimentalnya dan menjadi tempat terapi minda dia mengingati kisah silam seperti pada tahun 60-an dan 70-an ketika itu dia muda remaja serta masih cergas.
“Bagaimanapun, setakat ini banyak barangan antik itu disewakan untuk menjadi ‘prop’ kepada syarikat perfileman yang membuat drama atau filem lama bagi tempoh tertentu bersesuaian dengan skrip serta jalan cerita mereka,” katanya.-SAHIH.