ZAKAT KEDAH HANTAR BANTUAN SATU TRELER
ZAKAT KEDAH HANTAR BANTUAN SATU TRELER
JERANTUT: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyerahkan bantuan makanan sebanyak satu treler 6,000 kampit beras bersamaan 30 tan serta 60 karton kicap dan sos di pusat simpanan di Sekolah Tunas Bakti Jerantut, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau berterima kasih kepada LZNK kerana turut prihatin dan cakna di saat kesukaran yang dihadapi warga Jerantut dan negeri Pahang yang mengalami bencana banjir baru-baru ini.
“Keprihatinan ini sangat bermakna kepada mangsa dan tanda saling bantu membantu bersama insan yang terjejas dilanda musibah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman menyerahkan bantuan kepada Datuk Nazri Ngah.
Turut hadir di majlis penyerahan bantuan tersebut, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Khairuddin Ismail.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelajar Sekolah Tunas Bakti (STB) Jerantut turut membantu memunggah barangan bantuan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.