ZAHID GUNA DANA YAYASAN AKALBUDI HAMPIR RM1.5 JUTA
ZAHID GUNA DANA YAYASAN AKALBUDI HAMPIR RM1.5 JUTA
KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan terakhir pada perbicaraan kes Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya berjumlah RM1,469,547.36 untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan 20 kenderaan miliknya.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Ahmad Zahid membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.
Bagi pembayaran kad kredit, Ahmad Zahid menggunakan wang yayasan itu untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).
“Kad kredit AmBank Islamic dan Maybank mempunyai kad tambahan atas nama Hamidah Khamis. Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi semua kad kredit itu mendapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan dibayar menggunakan cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016,” katanya membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.
Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Khairudin berkata, Ahmad Zahid juga menggunakan wang yayasan itu untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya termasuk BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.
“Bagi bayaran pertama sebanyak RM17,335.54 digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM7,625.01 bagi bayaran cukai jalan membabitkan enam kenderaan milik Ahmad Zahid dan isteri, dengan pembayaran dibuat melalui tiga cek Affin Bank Berhad pada 22 Januari 2015.
“Bayaran kedua sebanyak RM27,246.90 untuk polisi insurans dan RM16,368.10 bagi bayaran cukai jalan melalui cek Affin Bank Berhad pada 15 April 2015, membabitkan empat kenderaan milik Ahmad Zahid, sebuah kenderaan milik BZ Motors Sdn Bhd dan sebuah kenderaan milik Juhari Janan.
“Bagi bayaran ketiga pula, sejumlah RM27,607.11 digunakan untuk membayar polisi insurans, manakala RM11,276.89 untuk membayar cukai jalan membabitkan lapan kenderaan milik Ahmad Zahid dan bayaran dibuat melalui cek Affin Bank Berhad pada 22 September 2015,” katanya.
Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Khairudin berkata, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang amanah yayasan itu, yayasan itu tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sepanjang penubuhannya antara 1997 hingga 2018.
“Tidak ada apa-apa mesyuarat dan perbincangan rasmi direkodkan setiausaha yayasan itu berkaitan aktiviti serta laporan kewangan Yayasan Akalbudi.
“Kewangan dan aktiviti ditadbir urus Ahmad Zahid sendiri. Pemegang amanah itu juga tidak mengetahui siapa penyumbang dana dan berapa jumlah sumbangan diterima Yayasan Akalbudi.
“Pemegang amanah yang lain hanya mengetahui Yayasan Akalbudi ada melaksanakan urusan kebajikan khususnya kepada penduduk kawasan Bagan Datuk membabitkan sumbangan kepada masjid dan pusat tahfiz,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Mac ini dan saksi itu akan menyambung keterangannya pada hari itu, lapor Bernama.
Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.