YouTube Sir Mizie bantu murid kuasai BI
Foto atas: Tarmizi bersama buku ‘Writing Made Easy (Part 1)’ hasil tulisannya selepas 12 tahun mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah kawasan pedalaman Sabah.
YouTube Sir Mizie bantu murid kuasai BI
BELURAN, SABAH – Impian selama 16 tahun terpendam akhirnya seorang guru, Sekolah Kebangsaan Ulu Muanad, Beluran, Sabah, Mohamad Tarmizi Mohamad berjaya menulis buku bagi membantu pelajar menguasai dan mahir dalam matapelajaran Bahasa Inggeris (BI).
Katanya, beliau bukan mencari populariti atau glamor, guru di pedalaman Sabah itu mahu menghasilkan buku tersebut untuk memudahkan pelajar menguasai BI dengan mudah kerana umum sedia maklum kononnya BI adalah subjek ‘killer’ di sekolah.
“Kesusahan dan menempuh pelbagai rintangan mengajar di pedalaman Sabah selama 12 tahun hingga sekarang tidak pernah meluntur semangatnya menulis buku untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar di seluruh negara.
“Sejak belajar di Institut Pendidikan Guru lagi dia sudah berazam bagi memenuhi impian menghasilkan buku walaupun dalam serba kekurangan apabila mengajar di pedalaman Sabah demi menabur bakti kepada pelajar,” katanya.
Katanya, akhirnya dengan pengalaman mengajar subjek BI di beberapa sekolah di Sabah dan segala ilmu dipelajari serta ditemukan semasa menjadi guru dimasukkan dalam buku bertajuk ‘Writing Made Easy (Part 1)’ yang sudah dipasarkan secara dalam talian pada harga RM29.99 senaskhah sejak awal Jun 2022 lalu.
“Matlamat saya menulis buku ini adalah untuk mengukuhkan asas penulisan BI dalam kalangan pelajar walaupun di mana mereka berada terutama yang menetap di kawasan kekurangan kemudahan termasuk internet.
“Saya mengambil tempoh selama setahun untuk menyiapkan buku ini dan terpaksa mengambil langkah berhati-hati dalam mengumpulkan maklumat serta menyusun idea untuk digarap dalam buku itu,”katanya Ketika dihubungi.
Katanya, kandungan buku itu adalah untuk membantu pelajar menguasai asas penulisan dengan menggunakan kaedah memudahkan buat ayat BI yang dicipta untuk murid di sekolahnya.
“Kaedah ini telah dimuatnaikkan ke saluran YouTube Sir Mizie dan telah memenangi Anugerah Khas Juri CikgooTube Kinabalu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada awal tahun 2022.
“Saya menyiapkan buku ini terpaksa menghadapi cabaran utama iaitu ‘mental blocks’ yang dihadapi ketika menulis berikutan tekanan masa tidak mencukupi kerana sibuk dengan tugas sebagai guru dan juga melatih pasukan bola tampar sekolah,” katanya.
Tarmizi berkata, secara asasnya buku itu sesuai untuk murid Tahun Dua hingga Tahun Empat manakala sesuai juga digunakan oleh murid sekolah menengah Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua.
“Bagaimanapun buku ini boleh dimanfaatkan semua peringkat umur termasuk mereka yang hendak mempelajari BI dan juga ingin membuat pengukuhan penggunaan bahasa berkenaan.
“Untuk peringkat pertama 1,000 naskhah buku sudah dicetak yang mendapat sambutan memberangsangkan di samping sokongan dan restu daripada guru besar sekolah saya serta pejabat pendidikan daerah.
Katanya, buku itu adalah hasil pengalaman profesional beliau mengajar BI selama 12 tahun, apabila teknik dan pendekatan yang beliau bina dimasukkan dan digarapkan ke dalam buku itu.
“Buku ini adalah hasil cinta saya kepada ilmu yakni BI dan ia juga hasil cinta saya kepada semua anak didik yang dahagakan ilmu walaupun mereka berada jauh di pedalaman tetap bersemangat menimba ilmu,” katanya.-SAHIH.