YAYASAN PETRONAS & JKM SERAH SUMBANGAN RAYA KEPADA 400 KELUARGA
YAYASAN PETRONAS & JKM SERAH SUMBANGAN RAYA KEPADA 400 KELUARGA
BENTONG – Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang menyampaikan sumbangan keperluan asas dan makanan perayaan kepada 400 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini menerusi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli, bersama Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Turut hadir, Pengarah JKM Negeri Pahang, Khairul Amri Ahmad, Pegawai Daerah dan Tanah Bentong, Dato’ Mohamad Shahid Ismail serta Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar.
Setiap penerima menerima barangan asas seperti beras, minyak masak, kari dalam tin, gula, garam serta minuman kotak dan teh.
Selain itu, mereka turut menerima biskut raya, ketupat segera, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Menariknya, biskut raya yang diberikan adalah hasil tangan usahawan kecil dan sederhana yang menyertai Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan PETRONAS, sebagai usaha membantu meningkatkan taraf hidup usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, program ini adalah sebahagian daripada komitmen Yayasan PETRONAS dalam membantu golongan kurang berkemampuan menyediakan keperluan asas bagi menyambut Aidilfitri.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban penerima dan membawa kegembiraan kepada mereka untuk meraikan Syawal,” katanya.
Program Memacu Kehidupan: Aidilfitri kali ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,850 keluarga serta 21 rumah kebajikan di seluruh negara, hasil kerjasama Yayasan PETRONAS dan JKM bagi memastikan golongan memerlukan turut merasai kemeriahan Aidilfitri seperti orang lain.-SAHIH