YAYASAN PAHANG HULUR SUMBANGAN
PENDERITAAN MUHAMAD IQRAM DAPAT PERHATIAN
JERANTUT: Insiden terbabit dalam kebakaran pada tahun 2011 masih berbekas dalam ingatan keluarga Suraya Abdul Manan yang menetap di FELDA Jengka 23, dekat sini.
Ketika kejadian itu, mereka menetap di FELDA Kumai, Bera, namun kesan melecur pada bahagian badan anak sulung daripada dua beradik itu, Muhamad Iqram Hashim, 11 tahun, belum pulih sepenuhnya.
Kisah penderitaan Muhamad Iqram pernah mendapat liputan media pada Oktober lalu dan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan.
Tidak ketinggalan pihak Yayasan Pahang turut menyalurkan sumbangan yang disampaikan Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud, hari ini.
Razak berkata, sumbangan berkenaan diharapkan dapat meringankan bebanan ditanggung keluarga Suraya yang kini bergelar ibu tunggal selepas suaminya, Hashim Mualaf meninggal dunia April lalu akibat serangan jantung.
“Kita harap sumbangan wang tunai RM500 ini dapat membantu dalam menyediakan keperluan asas keluarga Puan Suraya dan adik Muhamad Iqram.
“Selain itu juga, kita harap lebih ramai lagi pihak dapat tampil memberikan bantuan kepada mereka pada masa akan datang,” katanya.
Penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Ketua Peneroka FELDA Jengka 23, Sulaiman Bakar.
Difahamkan, Muhamad Iqram perlu menghadiri temujanji di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, setiap dua bulan sekali bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan susulan.