Yayasan ANGKASA Santuni Pelajar, Hampir RM17 Juta Telah Disalurkan
Yayasan ANGKASA Santuni Pelajar, Hampir RM17 Juta Telah Disalurkan
KUALA LUMPUR – Komitmen Yayasan ANGKASA dalam memperkasa bidang pendidikan terus kukuh apabila seramai 1,898 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah menerima manfaat pembiayaan dan biasiswa sejak tahun 2000 hingga 2024.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah keseluruhan pembiayaan pendidikan yang disalurkan mencecah RM16.37 juta, manakala sebanyak RM6.87 juta telah ditukar kepada biasiswa kepada pelajar yang layak.
“Ini adalah bukti kesungguhan Yayasan ANGKASA dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan warga koperasi dan anak-anak mereka, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem koperasi yang lebih holistik,” katanya.
Menurutnya, sektor koperasi kini diiktiraf sebagai antara penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru pembangunan pendidikan dalam kalangan generasi muda melalui koperasi wajar diteruskan dan diperluaskan.
Selain bantuan kewangan, Yayasan ANGKASA juga giat melaksanakan pelbagai aktiviti nilai tambah untuk pelajar, termasuk bengkel pembangunan sahsiah, kem kepimpinan serta program persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, malah turut membentuk jati diri, disiplin dan daya saing dalam kalangan pelajar agar mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Yayasan ANGKASA ditubuhkan pada tahun 2000 sebagai badan kebajikan pendidikan yang bernaung di bawah ANGKASA bagi menyantuni kebajikan anak-anak anggota koperasi di seluruh negara.-SAHIH
