YANG DI-PERTUAN AGONG TURUT SERTA CARI MANGSA HILANG
MANGSA MASIH TIDAK DITEMUI PADA HARI KETUJUH PENCARIAN
TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan keprihatinan terhadap rakyatnya dengan berkenan berangkat menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, Temerloh hari ini.
Turut mencemar Duli, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah berangkat mengiring Seri Paduka Baginda dalam operasi yang mengambil masa selama 45 minit mulai jam 3.00 petang, hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menerima sembah taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) daripada Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Mangsa, Loqman Hamka, 20, dari Kampung Kuala Kujan dilapor hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada hari Jumaat lalu dan masih gagal dikesan sehingga hari ini.
Mangsa, membantu keluarganya menternak ikan patin sangkar di kawasan terbabit .
Pada hari kejadian, Loqman keluar dari rumah pada jam 9.30 pagi dan memberitahu bapanya, Hamka Abu Bakar, 61, untuk melihat rawai ikan yang dipasang di tempat kejadian.
Beberapa jam kemudian, rakan kepada Loqman memaklumkan kepada bapa mangsa bot milik anaknya telah hanyut tetapi Loqman tiada dalam bot tersebut.
Wan Mohd Zaidi memaklumkan anggota bomba telah melakukan drag and pull technique dengan menggunakan grappling iron di lokasi yang dikatakan mangsa dilihat kali terakhir dan hanya berjaya mengesan tali rawai serta rangka-rangka yang disyaki besi kerangka sangkar ikan yang tenggelam di dasar sungai.
“Pencarian diteruskan hingga ke jambatan baharu Guai secara menghilir dan telah melakukan pencarian pada timbunan sampah sarap yang tersangkut di cerucuk besi jambatan baharu tersebut,
“Lokasi sangat berisiko untuk melakukan selaman berikutan air sungai yang keruh dan jarak penglihatan terhad di dalam air dan keadaan arus sungai yang sangat deras serta bahaya di dasar sungai.
Bapa mangsa, Hamka Abu bakar, 61, terharu dengan keberangkatan Yang Di-Pertuan Agong yang meluangkan masa pada hari ini sebagai tanda Raja berjiwa rakyat dan baginda berpesan agar bersabar dengan kejadian yang berlaku.
“Saya terima kasih kepada semua anggota yang terlibat yang berusaha dengan gigih mencari jasad anak saya sehingga hari ini,”katanya.