WUJUDKAN SEMULA TABUNG MODAL PUSINGAN
Berita Nasional
SYARAT KELULUSAN PINJAMAN PKS PERLU DISEMAK UNTUK BANTU KOPERASI
KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan semula Tabung Modal Pusingan bagi memastikan gerakan koperasi dapat berkembang dengan lebih rancak.
Ketiadaan peruntukan bagi tabung itu ketika sesi pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu agak mengejutkan kebanyakan gerakan koperasi di negara ini.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sepatutnya bantuan serta diperuntukkan hampir setiap tahun itu dikekalkan dan ditambah baik kaedah pengagihan, bukannya dimansuhkan terus daripada senarai keutamaan dalam belanjawan baru-baru ini.
“Perkara ini agak mengecewakan juga kerana boleh dikatakan setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan bagi Tabung Bantuan Modal.. contohnya, dua tahun lepas, kerajaan sediakan RM100 juta untuk tabung itu.
“Kalau boleh, kita minta kerajaan pertimbangkan balik supaya dapat mewujudkan semula tabung berkenaan bagi kemudahan koperasi kecil mendapatkan modal untuk memperluaskan operasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Strategik ANGKASA dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah JAKOA negeri, Johari Alwi.
Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berharap syarat bagi permohonan pinjaman melalui SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia dapat dilonggarkan bagi memudahkan koperasi turut memohon pinjaman terbabit.
“Kalau dikira, mereka (SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia) memperoleh peruntukan sekitar RM800 juta.. tapi, kalau ikut syarat, kita (koperasi) tidak boleh memohon kerana syarat utama ialah pemohon perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), badan berkanun atau majlis daerah.
“Ini bermasalah untuk gerakan koperasi kerana kita berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).. jadi, susahlah kita nak dapat (pinjaman),” katanya.