WHO GESA HENTIKAN JUALAN HAIWAN LIAR HIDUP DI PASAR
WHO GESA HENTIKAN JUALAN HAIWAN LIAR HIDUP DI PASAR
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menggesa penjualan mamalia liar hidup untuk pasaran makanan dihentikan bagi mengelak kemunculan penyakit zoonotik baharu seperti COVID-19.
WHO berkata larangan penjualan mamalia liar hidup boleh melindungi kesihatan pekerja pasar dan pelanggan kerana pasaran tradisional itu memainkan peranan penting menyediakan makanan kepada sejumlah besar penduduk.
Gesaan itu dibuat selepas garis panduan terbaru dibentuk sempena Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Program Persekitaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Ketiga-tiga agensi itu berkata, haiwan liar adalah sumber utama kemunculan penyakit berjangkit dalam kalangan manusia dan menyarankan langkah untuk mengurangkan risiko.
Jurucakap WHO, Fadela Chaib, berkata COVID-19 memaksa dunia memberi perhatian kepada ancaman itu memandangkan kesannya amat serius.
Ketiga-tiga agensi itu memaklumkan, beberapa kes awal COVID-19 yang dikesan mempunyai kaitan dengan pasar borong makanan tradisional di Wuhan, China.
Malah, kebanyakan pesakit awal wabak itu adalah pemilik gerai, pekerja pasar atau pelanggan tetap.
Selain itu, sampel dari pasar Wuhan menunjukkan ia mungkin menjadi sumber tercetusnya pandemik coronavirus atau memainkan peranan dalam menyebarluaskan penularan wabak berkenaan.
Malah, kata ketiga-tiga agensi itu, virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 berasal daripada haiwan liar, namun belum diketahui bagaimana ia menular kepada manusia.
“WHO, OIE dan UNEP menggesa semua pihak berkuasa nasional menggantung penjualan mamalia liar hidup untuk makanan atau dibela, selain menutup seksyen pasar yang menjual mamalia liar hidup sebagai langkah kecemasan, melainkan peraturan yang terbukti berkesan dilaksanakan,” katanya.
Ketiga-tiga agensi itu bertegas, terdapat kaitan kukuh antara penjualan haiwan liar hidup di pasar dengan kemunculan virus baharu dalam kalangan manusia.
“Haiwan, khususnya hidupan liar, adalah punca lebih 70 peratus kemunculan semula penyakit berjangkit dalam kalangan manusia, kebanyakannya disebabkan oleh virus baharu. Mamalia liar khususnya mencetus risiko kemunculan penyakit baharu.
“Pasar tradisional yang menyembelih dan mengurung haiwan hidup memiliki risiko jangkitan patogen kepada pekerja dan pelanggan,” jelas garis panduan baharu itu yang bermatlamat mengurangkan risiko penularan COVID-19 dan penyakit zoonosis lain,lapor AFP.