Waris To’ki Salleh Temerloh Himpun Semula Ikatan Kekeluargaan
Foto : Seramai 60 waris To’ki Salleh Temerloh merakamkan kenangan selepas mengadakan program hari keluarga.
Waris To’ki Salleh Temerloh Himpun Semula Ikatan Kekeluargaan
TEMERLOH – Seramai 60 waris membabitkan 16 keluarga keturunan To’ki Salleh Temerloh berhimpun dalam program Hari Keluarga di Homestay Villa Baiduri, Temerloh, pada 23 dan 24 Ogos lalu.
Ketua program, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata penganjuran itu tercetus hasil cadangan ahli keluarga yang sudah lama tidak berjumpa, sekali gus menjadi ruang untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Jawatankuasa kecil ditubuhkan bagi menguruskan lokasi serta menghubungi waris yang berada di seluruh negeri.
“To’ki Salleh meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 1975. Beliau guru mengaji, guru silat dan mahir dalam perubatan tradisional, amat dihormati masyarakat kerana sifat merendah diri serta suka membantu orang lain,” katanya.
Program itu turut dihadiri waris dari Temerloh, Jerantut, Chenor, Pekan, Subang, Gombak, Balakong, Putrajaya, Teluk Intan dan Sungai Petani. Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi suai kenal, majlis tahlil, doa selamat, BBQ dan sukaneka melibatkan orang dewasa serta kanak-kanak.
Seorang cucu, Faezah Md Adam dari Sungai Petani, berkata pertemuan itu penting untuk memperkenalkan hubungan kekeluargaan kepada anak-anak generasi baharu. Bagi Ghazali Abdul Latif dari Teluk Intan pula, program itu memberi peluang waris berbual panjang mengenai salasilah keluarga dan mengeratkan ukhuwah.
Menurut mereka, usaha sebegini mampu menyuburkan kembali ikatan persaudaraan yang semakin longgar akibat kesibukan hidup moden. – SAHIH.