WARGA THAI DIDAKWA BUNUH LELAKI DALAM REBAN AYAM
WARGA THAI DIDAKWA BUNUH LELAKI DALAM REBAN AYAM
KOTA BHARU – Seorang lelaki warganegara Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur di dalam sebuah reban ayam bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap Sulaiman Yaacob,22, di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang penjaga reban ayam didakwa telah membunuh Mohd. Daiylamien Mohd. Ashari,38.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di dalam sebuah reban ayam, belakang sebuah rumah di Kampung Che Arus, Kok Lanas di sini kira-kira pukul 11.30 malam hingga 11.46 malam pada 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakal tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 1 Ogos depan untuk serahan laporan post mortem dan sebutan semula kes.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, berang akibat kepalanya dipijak ketika tidur, seorang lelaki warga Thailand bertindak menikam seorang penganggur dengan sebilah parang kecil di dalam sebuah reban ayam, lapor KOSMO online.
Mangsa, Mohd. Daiylamien disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Machang untuk menerima rawatan lanjut.