Warga Peneroka Dirai, Hubungan Dirapatkan Dalam Semangat Komuniti
Warga Peneroka Dirai, Hubungan Dirapatkan Dalam Semangat Komuniti
JENGKA – Semangat perpaduan dalam kalangan warga Peneroka terus disemarakkan apabila satu program khas berjaya menghimpunkan komuniti daripada pelbagai pelusuk negara dalam usaha merapatkan hubungan serta menyatukan kembali semangat kekeluargaan.
Program yang mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak itu menjadi medan memperkukuh kerjasama antara pengurusan FELDA, pemimpin komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk JKKR, GPW, KAF, MBFN, Koperasi, masjid dan juga individu persendirian.
Menurut Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Mohd Termizi Lee, program sebegini wajar dijadikan platform untuk menyatukan kembali warga Peneroka , bukan sahaja yang menetap di dalam rancangan tetapi juga mereka yang berada di luar.
“Ini masa terbaik untuk kita merapatkan kembali hubungan antara semua warga Peneroka dan juga memperkukuhkan lagi jalinan antara pengurusan FELDA, kepimpinan dan masyarakat di rancangan,” katanya.
Walaupun bajet makanan terhad, sedikit bantuan disediakan hasil kerjasama pelbagai pihak. Beberapa individu turut menyumbang lembu dan kambing sebagai tanda sokongan terhadap program ini.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Jamuan Rumah terbuka hari raya Aidilfitri di Jengka 24, turut bersama, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud.
Dalam pada itu, FELDA dengan kerjasama Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) turut melancarkan Tabung Kebajikan Kecemasan peneroka (TKPP) yang membolehkan peneroka mencarum sebanyak RM36 setiap keluarga bagi tujuan bantuan jika berlaku musibah.
“Tiada paksaan, tapi kami galakkan peneroka yang belum mencarum untuk turut serta. Slip sumbangan boleh dihantar ke pejabat rancangan untuk direkodkan. Ini langkah ke arah kebajikan bersama,” jelas Mohd Termizi lagi.
Inisiatif ini disambut baik warga Peneroka dan dianggap sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti dan kebajikan peneroka di seluruh negara.-SAHIH