Warga Myanmar maut langgar belakang lori berhenti di Lipis
Warga Myanmar maut langgar belakang lori berhenti di Lipis
LIPIS – Seorang lelaki warganegara Myanmar berusia 31 tahun yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian setelah melanggar belakang sebuah lori yang diparkir dalam kemalangan jalan raya di Taman Emas, di sini, pada jam 7.55 malam semalam.
Mangsa, Mahbu Rahman Shobi Rahman seorang pekerja pembersihan menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan yang parah di bahagian kepala dan muka.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan polis mendapati mangsa telah menunggang motosikalnya secara melawan arus di jalan sehala dari arah taman perumahan menghala keluar ke jalan utama.
“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah mengelak sebuah kereta yang melalui jalan tersebut lalu terbabas dan melanggar sebuah lori jenis Isuzu yang diparkir di bahu jalan tanpa pemandu.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan yang parah di bahagian kepala dan muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan polis juga mendapati kedua-dua kenderaan terlibat merupakan milik syarikat kontrak pembersihan yang sama di Taman Emas, Kuala Lipis.
“Bedah siasat akan dijalankan selepas ujian Covid-19 ke atas mangsa hari ini, manakala kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
“Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, handle bengkok, penutup bahagian hadapan pecah, manakala lori Isuzu cuma kemek pada penjuru belakang,” katanya.-SAHIH.