WARGA EMAS TULAR KONONNYA BERJALAN KAKI UNTUK DIVAKSINKAN
WARGA EMAS TULAR KONONNYA BERJALAN KAKI UNTUK DIVAKSINKAN
MARAN: Seorang warga emas yang ditularkan kononnya berjalan kaki untuk mendapatkan vaksin di Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Klinik Kesihatan Kuala Wau menafikan berjalan kaki ke program itu, semalam.
Lelaki itu, Sheikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, dari Kampung Kertau berkata, dia memang suka berjalan kaki, kebetulan hendak ke Kuala Wau tetapi ditumpangkan oleh individu dan menghantar ke klinik di situ.
“Betul saya ada berjalan kaki, tetapi apabila di separuh jalan ada orang tumpangkan saya untuk mendapatkan vaskin ke klinik.
“Saya memang menunggu untuk mendapatkan vaksin dengan rela hati, pada Jun lepas saya telah ditawarkan untuk disuntik tetapi menolaknya kerana takut,”katanya.
Katanya, dia diberitahu untuk mendapatkan vaksin di Klinik Kesihatan Pekan Tajau, tetapi memilih ke Kuala Wau kerana mahu melihat klinik baharu di situ.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin berkata, penduduk setempat yang memerlukan bantuan agar mendapatkan khidmat disediakan di setiap kawasan.
“Kerajaan negeri melalui Majlis Pembangunan Wanita Pahang telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma di seluruh daerah dan parlimen di negeri ini melalui Program Suri Prihatin Covid-19,”katanya.
Beliau berkata di daerah Maran, penduduk yang memerlukan bantuan berhubung dengan dengan Noramiwati Harith (019-9877764 / Maran), Noor Zalila Ahmad (013-9611099 / Jengka), Siti Aiza Yahya (011-58525214), Mimi Syam Sungit (013-9644564 / Kuala Sentul), Hanida Mansor (019-9131562 / Luit dan Norsiah Idris (013-9988850 / Chenor).-SAHIH.