Warga emas rugi RM20,000, tujuh ekor lembu mati dipanah petir
Warga emas rugi RM20,000, tujuh ekor lembu mati dipanah petir
LIPIS : Seorang warga emas, Ab Lah Mat Isa, 69, mengalami kerugian sebanyak RM20,000 apabila tujuh ekor lembu ternakannya mati dipanah petir di Kampung Serunai, Mela dekat sini petang semalam.
Ab Lah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 petang semalam ketika hujan lebat diikuti dengan petir yang kuat berdekatan kandang lembu di kampung tersebut.
“Ketika hendak mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib, saya sudah berasa tidak sedap hati bimbang keselamatan ternakan lembu yang dilepaskan di sekitar kandang lebih lagi ketika hujan dan petir yang kuat.
“Nyata saya berdepan ujian Allah, sebaik selesai solat Subuh pagi tadi, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kandang lembu telah menghubungi kejadian tersebut,” katanya di Kampung Serunai, Mela dekat sini hari ini.
Menurut Ab Lah, dia bergegas ke kandang ternakan itu dan terkejut apabila menemui bangkai lembu ternakan bergelimpangan tidak jauh di antara satu sama lain.
Cerita warga emas yang juga pesara guru agama itu, kemungkinan tujuh ekor lembu yang mati dipanah petir itu berkumpul sambil berlindung di bawah pokok ketika hujan lebat dan petir.
“Kejadian seumpama itu merupakan pertama kali berlaku sejak saya mengusahakan ternakan lembu 20 tahun lalu,” katanya.
Ab Lah menambah kebiasaannya setiap petang dia akan pergi ke kandang untuk menengok dan mengawal ternakannya supaya tidak berkeliaran jauh dari kawasan lain, tetapi pada petang semalam tidak menjengah ke situ kerana hujan lebat dan berlaku petir kuat.
Foto : Ihsan Ab Lah Mat Isa